Kau selalu nak apa yang kau takkan dapat. Ada benda yang dah dalam perjalanan nak bertemu kau tapi kau takkan mahu ia sebab kau tahu kau boleh dapatkannya.
Kenapa nak air laut padahal kau dah ada pasir pantai dalam tangan?
Kau tahu air laut boleh buat kau menggigil?
Lemas? Biru muka, kedut kulit, semput dada, sesak nafas?
Pasir pantai mungkin buat kau gatal gatal tapi ia dah ada dalam tapak tangan kau. Kalau biji mata kau tak ralit dengan air laut dan tumpu pada pasir pantai yang dah ada dalam genggaman, kau mungkin nampak cantiknya.
Kalau kau tak kedekut nak mampus,
kau bercampur gaul dengannya sampai sebati,
mungkin kau bertemu selesa yang selama ini kau cari.
Kau lari lari kejar air laut,
mestilah lambat laun pasir pantai terlerai.
Kau celup badan dan kau selam dan kau selam dan kau selam,
baru kau sedar luasnya benda dambaan kau ini.
Besar rupanyanya ia, sampai kau berenang bagai nak patah kaki pun kau tak terteroka semuanya.
Kau takkan faham ia sampai bila bila.
Dan ia terlalu penuh untuk meluang masa memahami kau yang cuma manusia bernyawa rapuh boleh dimatikan dengan beberapa gelombang bodoh.
Kau ada segenggam pasir pantai tapi dia kecil sangat agaknya, kau tak nampak.
Atau kau pilih untuk tak nampak.
Padahal dia bukan kecil, dia dah sebahagian daripada kau.
Dia dalam tapak tangan kau.
Sekarang kau apa pun tak tinggal,
kecuali badan terapung apung di wajah air dengan celana dalam yang lunyai,
compang camping tersiat ranting tajam di dasar laut.
Kaki kau pun dah luka luka sebab kau nak sangat menakluk separuh dunia.
Kuku kau patah sebab tersepak batu yang tak terjangkau dek mata.
Mata kau merah bergesel air masin, uratnya tersembul.
Kau nak berbalik pada pasir pantai yang lembut,
yang belai kaki kau macam bayi dulu,
tapi ia dah terlalu jauh.
Kau dah di tengah laut.
Ikut hati kau nak dua dua,
kau ada cita cita, kau ada impian, kau ada angan, dan pada kau itu tak salah.
Kau kata kau mesti berani ambil risiko sedang konsep risiko belum kau faham.
Hari ini bila kau dah hidup mati seorang,
kau terpaksa telan semua risiko yang kau canang.
Kau beritahu aku, macam mana nak berenang merentas Laut China Selatan sambil genggam pasir dua belah tangan?