Aku renung gambar kekasih di telefon bimbit.
Musim bunga begini cuaca agak suam, namun angin selalu kuat terutama waktu pagi. Bulu halus di lengan aku tegak berdiri bukan dek sejuk, tapi dek satu soalan yang terlintas di benak fikiran.
Bagaimana rasanya kehilangan teman hidup?
Pembuluh darah aku bergetar bila membayang.
Hampir 1 minggu lalu hari besar aku tanpa Babah dan Tok ayah , airmata aku murah waktu chanselor berucap.
Aku punya ramai sahabat yang sudah kehilangan ibu bapa.
Aku kira, jika aku luahkan betapa beban jiwa aku terkenangkan Arwah Babah dan Tok Ayah , rata-rata tidak merasa hairan. Akan tetapi, aku tidak punya ramai sahabat yang kehilangan teman hidup.
Segelintir yang pernah, aku kagum dan hormat amat.
Bagaimana kalian hidup selepas itu?
Bagaimana kalian bangkit?
Bagaimana pasangan pada 12 yang terkorban dalam tragedi Bas Delima?
Aku matikan imaginasi. Gigil.
Sekejapnya hidup ini dan berlubangnya hidup aku. Berlubang hidup aku kerana ibadah belum cukup. Masih terlalu jauh hendak sampai cukup.
Aku renung lagi wajah kekasih , aku tahu jauh disudut senyum wajah itu tersimpan seribu satu perkara yang tak terluahkan .
Teringat perbualan beberapa hari sebelum ni .
Tentang rasa , Tentang kerisauan , Tentang masa depan.
InsyaAllah , aku pujuk satu persatu hati lembut dia , aku khabarkan berita yang selalu membuat dia gembira.
Dan aku bersyukur,
walaupun gaji kekasih aku bukanlah mencecah ribuan angka
tapi Alhamdulillah, dilimpah Allah sumber rezeki yang halal.
Seperti rezeki, mati, jodoh dan banyak perkara lain, semuanya boleh datang tiba-tiba asal ada kehendak Allah. Aku belum bersedia untuk kehilangan kekasih , malah tidak akan bersedia sampai bila-bila, sepertimana bertahun dulu aku rasa aku tidak akan bersedia untuk kehilangan Babah , namun ia terjadi jua, kerana mati dan jodoh bukanlah perkara yang menunggu persediaan kita, semuanya boleh berlaku sekelip mata asal Allah bilang kun faya kun.
Yang jadi penyelamat bukan wang, kecantikan atau populariti, tapi Al-Fatihah yang sebenar-benar Al-Fatihah, Yassin yang sebenar-benar Yassin, doa dan ibadah yang sebenar-benar doa dan ibadah.
Sms kekasih dibaca , Dibalas dengan kata kata untuk penerimanya senyum .
Dalam rahsia, hati aku dihenyak sebak, namun tidak mahu menangisi yang belum terjadi.
Aku sedar, syaitan sentiasa ada untuk melemahkan aku.
Dan aku sedar, lebih baik aku perbanyakkan ibadah dari termenung sedih, tidak berbuat apa.
Ya.
Aku perlu dikeraskan hati, kadangkala.