Wednesday, September 1, 2010

disedih sempurna .

Saya tahu awak sedang mengintai di sini. Yang lain, saya harap kalian tak cari diri sendiri dalam entri ini; saya bukan menulis mengenai mana-mana teman.

Bismillahirrahmanirrahim.

Ke hadapan Sempurna,

nak saya jadi bagaimana lagi?

Saya solat lima waktu sehari pun tak guna, sebab saya tak pakai tudung. Saya mengaji sebelum dan selepas tidur pun tak guna, sebab saya dengar muzik. Begitu kan, mengikut awak?

Saya sedar awak sempurna dan saya hina. Saya bukan menyindir. Sungguh. Demi Allah, pada saya, awak memang sempurna. Saya tak tahu bagaimana boleh ada manusia sempurna seperti awak. Tapi tak ada yang mustahil. Barangkali Allah turunkan keistimewaan pada awak hingga awak lengkap begini, wallahu’alam.

Konsep sempurna bagi tiap-tiap manusia itu berlainan. Saya nak penuhi konsep sempurna awak seorang pun tak tercapai.

Kalau saya buat amal, takkan saya nak canang? Takkan saya nak solat tengah-tengah alam biar semua orang nampak? Takkan saya nak mengaji guna pembesar suara biar semua orang dengar? Takkan kalau saya ke hulu ke hilir, ertinya saya mesti berseronok, bukan bekerja? Takkan kalau saya pakai jeans koyak, ertinya saya kaki ganja, kaki mabuk, kutu lepak? Takkan kalau saya ramai teman, ertinya saya gila bersosial? Takkan kalau hobi saya berkarya, ertinya saya lapar nama dan glamor? Takkan saya tak ada hak untuk agungkan Tuhan saya, perkatakan Tuhan saya, petik bait-bait dari kitab Tuhan saya, semata-mata sebab saya ke hulu hilir, pakai jeans koyak, ramai teman, dan hobi saya berkarya ?

Takkan saya tak diterima sebab saya bukan seperti awak?

Awak untung; awak tak perlu hebah amal awak pun semua orang dah boleh nampak kebaikan awak. Ia jelas dan tak ada siapa boleh sangkal. Saya tahu. Saya mengaku.

Saya sedar asal-usul saya. Belajar tak tinggi mana. Gaji tak besar mana. Muka tak cantik mana . Bahasa tak betul mana. Iman tak kukuh mana.

(Saya nak taip “Tuhan tak dekat mana” tapi tak jadi. Saya percaya Allah dekat dengan saya. Kalau saya buat salah, puncanya diri saya sendiri; saya yang jauhkan diri. Allah tetap dekat dengan saya walau awak pandang saya rendah ke teras bumi pun. Insyaallah.)

Saya sekerdil-kerdil manusia; nak bangga tentang apa? Apa pun tak ada. Semua Allah punya.

Saya tahu awak tak senang melihat orang yang sangat berbeza berbanding awak. Apatah lagi saya, yang sah-sah lebih banyak dosa berbanding awak. Saya tahu awak menghakimi saya melalui tulisan saya, gambar-gambar saya. Kalau awak duduk serumah dengan saya pun, awak tetap akan menghakimi saya. Selagi kita tak duduk dalam badan orang lain, selagi itu kita akan terus menghakimi orang itu. Kita semua stereotaipis. Kita lihat, dengar, dan buat teori.

Awak yakin teori awak benar dan itu fikiran awak; saya tak boleh halang.

Ke hadapan Sempurna,

Saya memang kalah dengan awak. Awak nak saya cuba jadi seperti awak? Boleh. Saya boleh cuba dan gagal sejuta kali dan tetap sehingga mati saya bukan awak. Saya tahu alasan “saya manusia biasa” tak patut digunapakai oleh orang yang matang, jadi tiap hari saya cuba. Kalau awak tak nampak atau tak percaya, itu bukan salah saya lagi. Sebab saya bukan cuba untuk menjadi awak. Saya cuba untuk menjadi diri sendiri, versi lebih baik lagi. Percubaan sebegitu memang awak tak akan pandang sebagai elok.

Saya mungkin ada cacat saya, tapi yang cacat tak semestinya cela.

Kalaulah awak tahu bagaimana payahnya hidup orang-orang seperti saya bila adanya orang-orang seperti awak. Kalaulah awak rasa bagaimana sedihnya orang-orang seperti saya mahu perbaiki diri tapi terus-menerus dilekeh-lekeh. Awak bukan orang asing, malah awak kenal saya hidup-hidup. Maka tiap kali awak kecil hati atas sebab saya menjadi diri sendiri, saya ambil kira, dan saya mohon maaf. Tapi hati saya? Semakin tawar dan tawar… sampai dah naik kebas.

Dan tawar hati sebenarnya lebih teruk dari kecil hati.

maafkan tulisan saya ,