Friday, May 20, 2011

curang ?

Nota: Saya bukan feminis. Dalam hal ini, lelaki perempuan sama.


H.
Lelaki.
50 tahun.
Berasal dari Australia.
Tubuhnya sedikit berisi namun tegap tinggi, rambutnya separa hitam separa putih, raut wajahnya agak tampan (bagi seorang lelaki yang berumur sepertinya).
Bersifat peramah, praktikal, gemar bercerita, suka bergurau dan berjenaka.
Berpengetahuan luas dalam bidang sejarah, politik dan ekonomi. Masa lapangnya dihabiskan menonton berita dan YouTube sambil mengkritik serta meneguk beer.
Sudah menjejaki pelbagai negara dan biasa berkawan pelbagai bangsa.
Menetap dan bekerja di Sydney.
Mempunyai tiga pekerjaan-
Tuan rumah, tukang bina, dan penyelenggara.
Satu rumah didiami ibunya manakala tiga lagi rumah disewakan biliknya pada orang luar. Banyak bahagian rumah-rumah ini dibina dan diselenggara oleh H sendiri.
J, teman wanita H.
J dan H sudah bersama selama enam tahun.
J dan H tinggal sebumbung.

J.
Perempuan.
26 tahun.
Berasal dari Filipina.
Tubuhnya langsing, rambutnya panjang, ketinggiannya genit dan raut wajahnya matang. Cantik namun sering nampak letih. Malah elegan bila berdandan.
Bersifat baik hati, ringan tulang, tidak lokek dan tidak kekok bergaul dengan orang.
Berpotensi untuk belajar tinggi tapi lebih suka mengumpul duit untuk menstabilkan kewangan diri, dan untuk dihantar ke keluarga yang disayanginya di Filipina.
Sudah menjejaki pelbagai negara dan cukup fasih berbahasa Inggeris.
Menetap dan bekerja di Sydney.
Mempunyai tiga pekerjaan-
Dua pekerjaan bergaji: Jurujual di gedung membeli-belah dan pelayan di kedai kopi.
Satu pekerjaan tidak bergaji: Mengemas dan membersih empat buah rumah milik H.
H, teman lelaki J.
H dan J sudah bersama selama enam tahun.
H dan J tinggal sebumbung.

Kalau saya kata ada kecurangan telah terjadi dalam hubungan yang kukuh ini, agaknya siapa yang melakukan? J atau H?
J? Kerana dia muda, menarik, (lebih dari mampu untuk) berdikari, dan boleh mendapat teman lelaki yang lebih padan?
Salah.
H.

Saya dan kawan pulang satu malam mendapati J, terduduk depan rumah, menangis seperti jantungnya sudah luruh ke paras pinggang. Saya pujuk dia masuk ke rumah, dia tak mahu. Dia mahu tetap duduk di situ. Saya peluk dan papah hingga dia bangun. Saya belum gila untuk membiar seorang wanita (Asia seperti saya, jauh dari ibu bapa) duduk di luar rumah tengah malam buta seorang diri, dengan pokok dipenuhi kelawar.

Saya menawar bahu untuk menangis dan telinga untuk mendengar, dia tak mahu. Saya menawar air untuk diminum buat penenang, dia tak mahu. J mengunci diri, sambung menangis.

Esoknya saya berteori bahawa H curang. Kenapa?

1) Kalau J menangis kerana hal keluarga, seperti kematian atau ada ahli keluarganya jatuh sakit, pasti dia sudah terbang pulang esok harinya. Tapi tak. Dia ambil cuti; terperap dengan muka yang sembab.
2) Kalau J menangis kerana hal kerja, seperti dipecat, tak mungkin juga. Perempuan tak menangis begitu bila dibuang kerja. Menangis, mungkin ya, tapi bukan “terduduk di luar rumah tengah malam buta seorang diri”. Perempuan waras tak se-emosi itu.
3) Posisi badan dan lokasi J menangis menunjukkan ada sesuatu yang drastik dan dramatik telah terjadi. Sesuatu yang J tak sangka berlaku tapi tiba-tiba dia dapat tahu. Sesuatu yang melemahkan kudratnya serta-merta.
4) J tak mahu masuk ke rumah menandakan perkara itu ada kaitan dengan teman lelakinya H, kerana rumah ini milik H dan semua di dalamnya mengingat J pada H. Kalau tak, J pasti sudah masuk dan menangis atas katil saja. Saya percaya katil merupakan favorite comfort zone bagi perempuan yang menangis.
5) Bila H pulang dari outstation, J cepat-cepat keluar dari rumah seolah melarikan diri. Ini menunjukkan H telah melakukan sesuatu yang tak patut dia lakukan.
6) Kalau sudah sampai tahap J tak sanggup melihat muka H, tak ada masalah lain, selain curang.

Nota: Saya (sekadar) berteori berdasar pengalaman (saya).


Lusa harinya ramalan saya (hampir) sah apabila:

1) J dan H bertengkar di dalam bilik.
2) Satu-satunya ayat J yang sampai ke telinga saya ialah: “I’ve done nothing wrong in this relationship..!”
3) Satu-satunya ayat H yang sampai ke telinga saya ialah: “You want the truth, that’s the truth.. I’m telling you the truth..”
4) Tiba malam, J tak mahu tidur di bilik. Dia tidur di luar, di ruang tamu yang dingin, atas sofa.
5) Tak, saya bukan sengaja nak jaga tepi kain orang. Cumanya, kami berempat duduk serumah, dan rumah ini bukanlah besar. Kalau dah masing-masing cakap kuat-kuat, takkanlah saya tak dengar?

S(HE) BE(LIE)VE(D)

Dalam apa jenis hubungan pun, sama ada kekeluargaan, persahabatan atau pasangan, saya tak rasa kita dapat jangka siapa yang akan menipu, siapa yang akan mengkhianati. Bayangkan seorang guru berkahwin dengan seorang pelakon dan kemudian salah seorang daripada mereka berlaku curang. Saya percaya ramai meneka yang curangnya si pelakon, kerana keadaan sosial si pelakon lebih bebas dan jenis orang di sekelilingnya lebih mengancam ketetapan hati. Tapi ramai lupa bahawa dua-dua mereka adalah manusia, dan manusia takkan setiap kali dapat diramal dengan tepat. Buktinya bila kita dapat tahu si guru yang curang, kita terkejut. Kita lupa kita hanya boleh teka, (seperti teori-teori saya bentang tadi), tapi belum tentu jangkaan kita betul.

Manusia berbohong atas pelbagai alasan berbeza, tapi yang dikhianati tak endah semua itu. Yang dipeduli bukan ‘pokok pangkal’ cerita tapi ‘produk akhir’ cerita iaitu “curang adalah salah”. Dan ya, curang adalah salah.

Apa yang saya cuba sampaikan ialah:
Ditipu, dibohongi, diduakan, dikhianati- semuanya memang memedihkan hati.
Tapi ia cara terbaik untuk membuka mata kita pada realiti.