Hello, perempuan. saya nampak kostum Wonder Woman pada badan awak! awak nampak?
kostum saya pun, ada hari saya nampak. ada hari, tidak.
sebenarnya kita semua ada kostum Wonder Woman pada tubuh kita.
kerana kita semua ada perjuangan masing-masing.
waktu kita muda remaja, kita berjuang untuk memahami dunia dan mengenalpasti identiti diri. kita cuba siapkan kerja sekolah. kita cuba untuk tidak buat ibu bapa atau cikgu marah. kita cuba dapatkan pingat untuk pasukan kita. kita cuba untuk bersabar bila dibandingkan dengan orang lain. kita cuba untuk tidak memalukan diri sendiri di sekolah. kita cuba untuk berkawan dan menangani masalah kawan-kawan. kita cuba untuk bangun bila jatuh basikal. kita cuba untuk lupa bahawa budak lelaki yang kita suka, tidak suka kita. ada di antara kita yang cuba perkara yang lebih besar lagi. cuba untuk faham kenapa kita ada penyakit sedangkan orang lain sihat. cuba untuk faham kenapa ahli keluarga kita meninggalkan dunia terlalu awal.
dari gadis, kita mekar jadi wanita. perjuangan kita tambah berat. kita cuba untuk belajar dan tamat dengan keputusan yang bagus. kita cuba untuk membanggakan ibu bapa. kita cuba untuk dapatkan perkerjaan. kita cuba untuk stabilkan pekerjaan. kita cuba mencari seorang teman yang baik dan sesuai walaupun gagal berkali-kali. kita cuba kekalkan teman itu menjadi teman hidup. kita cuba cari wang untuk hidup. kita cuba cari wang untuk mencapai impian-impian kita. kita cuba untuk menyelesaikan drama persahabatan secara matang. kita cuba untuk merapatkan diri dengan keluarga yang semakin lama semakin ramai ahlinya pergi. kita cuba taat dengan suruhan Tuhan. kita cuba memenuhi keinginan orang dan diri sendiri.
kadang-kadang kita terlalu mencuba hingga kita lupa kita tidak boleh memuaskan hati semua orang. kita tidak boleh dapat semua yang kita mahu. kita tidak perlu menjadi sesiapa kecuali diri kita sendiri. kenapa Wonder Woman harus memakai cape jika dia tidak rasa selesa dan gembira memakainya? kita tidak perlu melakukan sesuatu hanya kerana semua orang melakukannya. hanya kerana ramai lelaki menyukai Megan Fox, tidak bermakna Wonder Woman perlu menjadi seperti Megan Fox. kita tidak perlu disukai oleh semua. disukai oleh lebih ramai orang tidak akan membuatkan perut kita lebih kenyang atau akal kita lebih pintar atau hati kita lebih baik.
kita perempuan diperbuat daripada fizikal dan juga mental. rupa saja cantik tetapi tidak ada pengisian pada akal dan hati adalah sia-sia. fizikal akan dimamah usia. (Begitu juga buah dada.) tidak ada orang yang mahu membeli kulit buku semata-mata. tidak banyak fungsinya.
kita perempuan bebas memilih siapa yang mahu kita dampingi. Wonder Woman tidak perlu mendampingi superman hanya kerana semua orang percaya mereka sepadan. atau kerana superman kacak! Wonder Woman boleh memilih Encik Geek jika dia lebih bahagia dan selesa bersama Encik Geek. kita Wonder Woman, bila mengasihi, kasih kita juga luarbiasa. tapi itu tidak bermakna kita buta dan boleh membiarkan diri kita dipermain. Wonder Woman ada akal. bukan saja hati.
Wonder Woman bukan perempuan sempurna. kuat bukan bererti sempurna. ada masa kita jatuh dan kita jatuh teruk. Wonder Woman juga ada insecurity dan fears. Wonder Woman boleh menangis dan ia tidak salah. yang penting kita bangun selepas jatuh. bagaimana susah pun hidup, kita cuba. gagal atau tidak, belakang kira. memang kadang-kadang, raksasa yang datang itu sangat besar dan di luar kawalan kita. tapi kita boleh kawal raksasa dalam diri kita. itu lebih berkuasa.
Wonder Woman harus dipandu oleh akal, bukan hati. tapi akal juga boleh menjadi suatu alat yang merbahaya. kalau kita fikir kita gemuk seperti lori sampah, gemuk seperti lori sampahlah kita. kalau kita fikir kita tua-ganyut-muka-berkedut, tua-ganyut-muka-berkedutlah kita. refleksi cermin, kita yang pilih.kadang-kadang, menerima diri sendiri seadanya adalah perkara yang paling susah mengasihi diri sendiri sepenuhnya adalah perkara yang paling payah. Wonder Woman juga bergelut dengan masalah ini. tapi kalau bukan kita, hendak harapkan siapa lagi? semua perkara bermula dengan diri sendiri.
Wonder Woman adalah … a woman.
kuat mana pun kita, kita tetap perempuan. tetap terasa hati bila dikasari. tetap berkecil hati dengan benda yang kecil . tetap sensitivitinya lebih tinggi daripada lelaki. lumrah. bukan kita lemah! cuma kita perlu pandai-pandai optimiskan diri. kadang-kadang ini juga boleh menjadi perkara yang paling sukar. cari sumber untuk kuatkan diri bila lemah. cari sebab untuk gembirakan hati bila sedih. paling mudah, mulakan dengan bersyukur. Wonder Woman pun Tuhan yang cipta.
berbalik pada realiti ;
kita semua manusia biasa dan bikin tidak sesenang cakap. bukan saja manusia biasa, malah manusia jahil. barangkali kita tidak tahu pun apa sebenarnya realiti! saya misalnya, suka gubah dunia saya sendiri. dari kecil, saya suka watak Wonder Woman dan saya sarung kostum Wonder Woman hingga dewasa biar bukan secara literal. bila saya sakit, hati atau badan, saya ingatkan diri sendiri bahawa saya Wonder Woman dan saya boleh lalui semua ini walaupun payah dan mengambil masa. dari mata saya, awak juga tidak pernah tanggalkan kostum Wonder Woman awak.
sama ada awak pilih untuk nampak atau tidak ,
itu saja :)
Untuk hari ini, saya nampak. :)