2 hari sebelum 1 Syawal 1431H.
Tiga minggu lepas , aku dan keluarga mengambil kesempatan untuk pergi mengunjungi pusara babah dan nenek (sebelah ibu). Serta beberapa pusara kaum keluarga terdekat.
Sebak.
Hati tiba-tiba rasa rindu sangat dengan arwah babah. Ini adalah kali kedua menjalani ibadah puasa tanpa babah . Agak sukar sebenarnya.
Dan jika babah ada pada hari ini, pastinya dia orang yang sibuk nak beli juadah berbuka puasa di bazaar Ramadhan, kebiasaannya di Kampung Kerinchi. Kau sebutlah apa yang dihajatkan sang tekak, pasti babah penuhi. Dan kelmarin, hati sangat sayu semasa membeli juadah di situ tanpa babah di sisi.
Ramadhan yang lepas, babah tak dapat menunaikan ibadah puasa dengan sempurna. Sebab, babah bergantung kepada ubat. Dan bila waktu berbuka hampir tiba, babah jarang duduk bersama kami sama-sama berbuka. babah segan agaknya, sebab dia tak dapat berpuasa dengan baik. Bila kami ajak, babah akan cakap, "Takpelah, makanlah dulu, babah nak solat". Sedih kat hati tak terungkap sebenarnya. Boleh dibilang dengan jari, berapa kali babah sudi duduk sama-sama berbuka dengan kami. Kesian babah. Dan walaupun babah tak dapat berpuasa, bila waktu bersahur, babah akan sama-sama bangun. Temankan ibu kat dapur dan kejutkan kami adik-beradik. Begitulah rutin Ramadhan babah semenjak sakit.
Yang lebih menyedihkan, babah tak dapat menunaikan solat terawih, yang menjadi kelaziman untuk babah seperti tahun-tahun sebelumnya. Dan babah selalu menyatakan betapa kesalnya dia tak dapat menyertai jemaah-jemaah yang lain menunaikan terawih. Puas dipujuk, tapi babah akan terus bercakap tentang kekesalannya itu.
Dan dua tahun lepas, babah menangis teresak-esak ketika melafazkan akad ketika membayar zakat. Ketika itu, penyakit babah dah agak kronik. Agaknya babah tau, itulah kali terakhir dia bertemu Ramadhan :(
*air mata mengalir saat ini*
Dan selepas episod Ramadhan itu, penyakit babah semakin kritikal. Sehinggalah babah menghembuskan nafas terakhir di sisi Ibu tepat jam 12.35 tengahari pada 1 April 2009. Al-Fatihah.