Terlalu banyak rasa dan fikiran yang aku pendamkan di sini; aku mudah sebak.
Terlalu banyak sebab kenapa aku pilih untuk tidak bercerita semua. Jujur saja aku kata, kadang-kadang aku harap hati aku batu supaya ia kurang perasaan, kurang emosi, kurang mengasihi. Terlalu banyak kasih terhadap dunia melemahkan manusia.
Jujur saja aku kata – dan ini mungkin perkara yang paling teruk pernah aku kata, maka aku minta maaf pada semua yang percaya aku bagus dan sebagainya; aku cuma hamba biasa – dari bulan pertama aku di bumi asing itu hinggalah ke hari ini, aku sebenarnya menyesal datang ke sana. Seumur hidup aku tidak pernah menyesal tentang apa-apa hal sekalipun. Inilah perkara pertama yang aku sesalkan dalam hidup. Kalau aku tahu aku akan jadi begini, aku menuntut di Malaysia saja. Kalaupun perlu ke sana, aku akan bernikah dulu untuk pastikan aku ada sekurang-kurangnya seorang keluarga. Tapi semua sudah penghabis jalan, terlalu lambat untuk sebut “akan”. Menyesal pun tidak guna. Ini pengakuan aku sejujur-jujurnya. Yang selama ini aku telan dan telan dan simpan dan simpan sampai – sungguh aku tidak tipu – ia menyakitkan badan aku. Bilanglah aku lembik, anak manja, kurang sabar, kurang syukur dan sebagainya – tidak apa. Tiada siapa perlu faham kerana lumrahnya tiada siapa benar-benar faham. Aku tahu diri aku. Aku tahu hubungan aku dengan Allah Ta’ala bagaimana. Aku tidak akan berpura baik kerana aku tahu apa yang perlu diperbaiki.

Hari ini aku cuma mahu jadi realisitk dan jujur. Aku cuma mahu jadi aku. Aku cuma mahu katakan bahawa aku ini manusia, tempat ini menguatkan aku namun mengeluarkan banyak buruk-buruk aku yang aku tidak suka. Jadi dalam kepayahan yang cuma Allah Ta’ala saksikan ini, aku ucapkan terima kasih pada sebilangan kecil mereka yang masih ambil berat, masih sudi meminjamkan sayang, walaupun aku sekarang umpama jasad yang dilurut dagingnya tinggal tulang.
:(