Adik,
aku bukan yang terbaik untuk bicarakan ini semua. Aku cuma seorang lagi manusia biasa yang turut dihujani pelbagai nista dunia, yang sebahagian dalamnya tidak kau selam.
Adik,
mengapa agaknya Tuhan lemparkan dugaan begini? Kalau Tuhan mahu kita berputus asa, lebih mudahlah Dia putuskan nyawa.
Adik,
di sana manusia merayu meminta nyawa. Kita diberi percuma, sekalipun solat tidak cukup lima.
Adik,
terpulang pada akal dan hati kita untuk melihat hidup ini sebagai nikmat Dia atau neraka semata. Hidup kita dibentuk akal dan hati kita, dik.
Adik,
jangan kau celik terhadap semalam, dan buta terhadap hari ini serta esok. Jangan dibiar mati semalam memati hari ini dan esok.
Adik,
berhenti mempercayai kekuatan diri bukanlah perkara yang paling menyedihkan dalam putusnya sesuatu asa, tetapi berhenti mempercayai ketentuan Dia.
Adik,
laut ini luas. Jauh lagi perlu kita renang. Badai itu sentiasa ada maka redha. Redha bukan bererti kita merela diri dihanyut. Badai datang, kita tentang. Badai datang, kita tentang. Kalau kita gagal dan ia menolak kita ke belakang, kita renang semula ke hadapan. Tidak kira berapa kali ia menolak kita ke belakang, kita renang semula ke hadapan. Yang penting, jangan lemas dan karam. Jangan ditelan air masin hingga kembung perut lalu tenggelam.
Pelampung ada di kanan kiri jika kau cari.
Air masin ada merata walau tidak kau cari.
Cukuplah menelan air masin, dik.
Hmm ..